Dalam menekuni sudut fiqh dan aqidah, kita telah diperkenalkan dengan pelbagai ajaran daripada ijtihad para ulama’ berlandaskan Quran dan Sunnah. Pertama sekali, perlu kita fahami bahawa ijtihad itu ditakrifkan oleh Imam Ghazali sebagai daya usaha fuqaha/ulama’ memahami nas-nas quran dan sunnah dengan sepenuh usaha daya mereka. Justeru, berlandaskan hadis nabi SAW, sekalipun ijtihad itu tersalah, mujtahid tersebut tetap akan mendapat ganjaran daripada Allah. Inikan pula, yang sahih ijtihadnya. Sudah tentu dua kali ganda pahala.
Sejak dari bangku sekolah, malahan tadika, kita telah dimomokkan dengan ajaran Wahabi sebagai ajaran sesat. Macam polis, kita dimomokkan untuk takut kepada polis. Natijahnya, minda anak-anak kecil terserong takut pada polis sedangkan polis tidak ada daya kuasa apa-apa pun melainkan dengan izin Allah. “Wahabi sesat!”, “sesat” dan “sesat!!!.” Hal ini terus bermain dalam minda semua pelajar hinggalah meningkat dewasa.
Kami...sebagai sekumpulan pelajar yang mengkaji ketika itu di SAMTH, dan kini di IPT masing-masing, mula menemui kejanggalan dakwaan melulu itu. Buku pertama yang kami cari dan terjumpa sebagai penyangkal dakwaan tidak bermoral sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab ini ialah buku tulisan seorang ulama’ muslimah terkenal iaitu, Maryam Jamilah. Pada mulanya, kumpulan kami cuba menimbulkan sedikit prasangka dan persoalan yang kononnya kemungkinan terdapat unsur-unsur rekacipta fakta dalam buku setebal 85 muka surat itu. Namun, prasangka yang cuba menimbulkan hujjah ini terbatal apabila kami dapat mengesahkan bahawa pihak penerbit buku ini adalah hasil terbitan Gedung Ummah, iaitu sebuah syarikat penerbitan buku Jemaah Islam terkemuka negara, PAS yang berpusat di sekitar kawasan Presiden Abdul Hadi Awang. Mustahil, cetakan ini menipu fakta memandangkan itu kawasan bimbingan ulama’ dan dibawah pengawasan serta pemerhatian pimpinan ulama’ PAS disitu.
Dan penulisnya pula adalah pejuang Islam yang terkenal dengan perjuangan gentingnya iaitu anggota jemaah Ikhwan Muslimin yang hingga ke hari ini, kita umat Islam di Malaysia masih menggunapakai ma’thurat dan pelbagai kitab karangan ulama’-ulama’nya. Namun, tulisan Maryam jamilah ini tidak tersebar luas dek tekanan seluruh dunia Islam kepada Wahabi kecuali arab Saudi. Itupun hanya pada hal tertentu. Mungkin juga salah satu faktornya adalah kerana sifat kementerian dalam negeri kita juga yang begitu poyo tidak tentu arah mahu membasmi ajaran sesat dengan berlandaskan pemikiran ustaz-ustaz kampung yang entah tahu entah tidak mengenai sejarah Wahabi ini. Adapun golongan ulama’ yang tinggi seperti mufti-mufti, bukan semua yang berani lantang membicarakannya kerana takut dicop oleh golongan tertentu sebagai Wahabi, ajaran sesat.
Bersaksikan Nama Allah, saya benar-benar ingin menegakkan kesahihan ini biarpun sehingga kini, saya telah menerima puluhan komen cemuhan daripada para pembaca blog yang terus setia bersama JIHADMALAYA. Terima kasih atas segala reaksi anda dan hujjah yang cuba anda ketengahkan. Tahniah.
Wahabi, merupakan sebuah gerakan Islam yang paling awal tertubuh setelah keruntuhan kerajaan Othmaniah. Wahabi merupakan pelopor kepada pembasmi ajaran sesat dan tahyul yang melampau yang sedang melanda dunia Arab ketika itu(awal abad ke-12 hijrah). Sebelum kita melihat apa itu perjuangan Wahabi dan bagaimana gerakan ini boleh dikatakan sebagai sesat oleh sesetengah pihak, mari kita kaji terlebih dahulu apa yang berlaku kepada dunia Arab sekitar abad ke-12 hijrah tersebut.
Dalam buku “The New World Of Islam” halaman 22-26 ada dinyatakan tentang keadaan masyarakat Arab beragama Islam ketika itu(sekitar 1700 keatas) yang telah pekat likat dengan kepercayaan karut, tahyul dan khurafat dalam minda dan hidup mereka. Dalam petikannya ada menyebut;
“Agama Islam hancur seperti hancurnya agama lain. Keesaan Allah dalam ajaran Islam telah dibebankan dengan pembiakan berjenis-jenis teori karut dan ajaran yang salah. Masjid-masjid kosong dan menanti runtuh, dipulau oleh si jahil yang sibuk dengan tangkal azimat, jampi serapah dan biji tasbih. Mereka lebih memberi tumpuan kepada faqih yang salah dan sesat serta Dervish(darwis). Mereka menunaikan haji di kubur-kubur ‘orang wali’ yang disembah sebagai perantaraan atau keramat. Ajaran Quran tidak dihiraukan sehingga Mekah dan madinah menjadi tempat yang didiskriminasi. Boleh dikatakan hidup mereka telah lari daripada Islam. Jika Nabi Muhammad balik ke dunia, sudah tentu baginda akan menganggap mereka sebagai murtad atau penyembah berhala.”
Sungguh terkilan apabila kita membaca buku ini yang hanya banyak dibaca oleh golongan Mat Salleh yang begitu suka dan gembira dengan kondisi umat Islam yang sedang rosak ketika itu. Walaubagaimanapun, Allah itu menjanjikan bahawa, akan ada setiap zaman, golongan yang memperjuangakan agama Allah dan golongan ini akan kekal ada walaupun tersisih daripada masyarakat sehingga hari kiamat. Pada masa inilah, Muhammad Abd Wahhab ditakdirkan Allah untuk lahir sebagai ulama’ dan fuqaha’ yang terkenal sejak berumur remaja lagi. Belum pun lagi mencapai usia warga emas, beliau sudah mula dikerumuni ramai murid yang ingin mempelajari Islam daripadanya.
Sesetengah ulama’ apabila sudah dikerumuni begitu ramai pelajar, akan mula berasa besar dan bijak. Kadang kala malas pula mahu melanjutkan lagi pelajaran. Namun begitu, Muhammad Abd wahhab yang tawadhuk dan zuhud ini masih merasakan dirinya itu kurang ilmu dan beliau sememangnya seorang yang terkenal sebagai pencinta ilmu. Kehausannya kepada ilmu akan terus diisi sehingga beliau sanggup berhijrah mencari para ulama’ dan fuqaha’ yang lain di luar Negara. Antara Negara yang telah memahat kukuh memori ulama agung Muhammad Abdul Wahhab ini ialah Mekah, Madinah dan Iran. Ketiga-tiga bumi anbiya’ dan ahlulbayt ini telah menjadi saksi keutuhan iman yang mantap beserta perjuangan dan pegangan aqidah syeikh Muhammad.
BERSAMBUNG....(reaksi pemerintah Najad terhadap Muhammad)
No comments:
Post a Comment