Pada minggu yang lalu, sempat saya bersama rakan-rakan lain berkunjung ke sebuah kolej matrikulasi di semenanjung. Banyak pengalaman yang ditimba sepanjang perjalanan ke kolej yang tidaklah seberapa besar berbanding universiti kami. Sepanjang seharian atau lebih kurang 24 jam berada di kolej ini. Ketika dibawa berkunjung oleh rakan seusrah dari kolej tersebut, Islamboli tidak teragak-agak untuk melayan kami dengan sepenuh layanan ibarat tetamu agung kami ke kesana. Beza usia antara kami yang agak jauh tidak membatas pergaulan dan silaturahim. Sebaik tiba di sana pada hari jumaat petang, kami dibenarkan masuk oleh para pengawal yang budiman lagi mesra. Kemudiannya kami menuju ke dewan serbaguna kolej yang sering menjadi ‘pot’ terbaik untuk berjumpa dengan wakil dari kolej ini. Dengan beberapa pasang baju yang muat dalam satu beg galas, saya meninggalkannya di sebuah almari di dalam dewan tersebut atas jaminan Islamboli bahawa beg saya dan rakan-rakan lain akan selamat. Kami dibawa berjalan-jalan dan bersiar-siar sekitar KMNS. Agak besar dan menarik strukturnya. Besi dan batu. Konkrit dan besi. Amat menakjubkan. Asar kami ditunaikan di sebuah bilik kecil berdekatan dengan blok kelas tutoran Islamboli. Disitulah kami menunaikan solat dan seterusnya pada malam itu kami beradu dan sempat bangun qiam bersama.
Pada sebelah petang sebelum tiba malam, saya dibawa berjalan bersama melihat senario dan gelagat para siswa di kolej yang sebelum ini hanya didengari dari mulut rakan. Kali ini, situasinya berbeza. Kami ditunjukkan dengan sekumpulan pelajar yang bersukan sambil memakai seluar yang amat pendek(ragbi). Kemudian, sekumpulan pelajar yang tidak memakai tudung(bola tampar dan tennis). Seterusnya, sekumpulan pelajar yang berdua-duaan di pondok-pondok wakaf. Pada jam 7 petang, suara bacaan al-Quran yang dipasang kedengaran disegenap ruang-ruang kolej. Melihatkan hari yang semakin gelap menyambut malam, para pelajar yang tadinya bermain bermula jam 5 petang, tidak sedikit pun berganjak daripada gelanggang masing-masing. Terlintas di fikiran saya, sempatkah mereka mahu mempersiapkan diri menunaikan solat pada jam 7.20 petang? Mungkin sempat, tanggapan saya. Jam semakin menghampiri waktu azan. Tidak seorang pun yang berganjak. Amat mengecewakan kerana petanda yang diberi untuk berhenti bersuka-ria bagi menyahut seruan Ilahi tidak diendahkan. Masing-masing amat khusyuk dan tawadhuk bermain. Bergelak ketawa, mencarut sini dan sana, menjerit dan memekik. Memekak-mekak tanpa menghiraukan corong pembesar suara yang sedang mengalunkan bacaan al-Quran.
Beberapa ketika kemudian, azan berkumandang. Kelihatan ramai yang menangguhkan permainan. Cuma ada segelintir yang masih berdegil dengan Tuhan. Semasa saya duduk sambil menjawab seruan azan di bahagian koridor surau, Islamboli datang kepada saya dan menunjukkan beberapa orang yang pada pandangannya berfikrah Islamiah, pernah menuntut di sekolah agama, penyokong jamaah, dan macam-macam lagi perkara yang hebat diceritakannya. Namun, amat sedih dan mengecewakan kerana merekalah yang menjerit-jerit, memekik,-mekik, ada yang berseluar pendek, ketika alunan ayat Allah dibacakan. Mereka langsung tidak menghiraukannya. Hanya apabila seruan “Hayya ‘ala as-solah” dilaungkan, barulah mereka memberhentikan permainan. Ikut Islam ke? Pada pandangan saya, jelas tidak. Namun, saya hanya berdiam diri ketika itu kerana Islamboli pada ketika itu amat takjub menceritakan latar belakang sahabat-sahabat bekas tanzimnya dan rakan-rakan jamaah yang lain seorang demi seorang. Ada yang anak ustaz. Ada yang dari SMAKL. Ada yang dari PAS dan JIM. Ada yang pernah jadi imam di surau. Ada yang jadi bilal. Tapi semua itu tidak berguna kerana itu semua sekadar retorik yang jelek sekiranya mereka tidak menghayati dan menghormati bacaan ayat Allah. Mereka jelas bukan ‘amilin fil Islam. Mereka hanya sekadar memenuhi kuota pengkaderan jamaah. Mereka hanya hipokrit terhadap jamaah. Itulah sedikit sebanyak ilmu yang saya ada untuk menilai perjuangan mereka. Maka, hancurlah jamaah dengan amir yang tidak menghormati Allah. Hancurlah jamaah dengan ahli yang tidak terkesan dengan ayat-ayat Allah. Jamaah yang bergelak ketawa ketika alunan al-Quran dibacakan. Jamaah yang menjerit-jerit ketika ayat Allah dibacakan ibarat keldai yang berciciran. Saya hanya memberi perumpamaan. Jangan pula disaman.
Selepas selesai maghrib, kami bersama-sama dibawa Islamboli ke perpustakaan. Dengan sedikit gementar kerana diluar pintu tersebut tertulis dibenarkan masuk hanya dengan kad matrik dan etika pakaiannya yang tersendiri. Alhamdulillah kami semua berkolar dan slack. Cuma, kad matrik tidak bersama. Namun, kami selamat kerana tidak ada pegawai perpustakaan yang menjaga. Kami terus menuju ke set sofa. Disitu, saya membelek-belek akhbar-akhbar tempatan yang terdapat dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Selepas setengah jam bersembang, azan Isyak dilaungkan. Kami menuju ke bilik surau yang kecil di bahagian blok HEP. Kami bersolat Isyak dan seterusnya meneruskan modul usrah minggu ini dengan dipimpin oleh Sin Chan. Selepas mengulas dan mempelajari beberapa ayat tafsir dan hadis, kami pun mengulas tentang politik dunia dan negara semasa. Tidak ketinggalan, dibincangkan juga masalah umat yang berlaku ketika maghrib tadi. Maka kini, lebih jelas dan terang ceriteranya oleh Islamboli. Islamboli yang merupakan sahabat saya yang amat aktif dalam aktiviti berpersatuan di kolej milik kementerian tersebut dan pelbagai yang lainnya itu, menceritakan satu persatu latar belakang dan situasi yang melanda golongan pelajar yang ada ilmu tentang agama, ada kefahaman tentang fikrah Islamiah, ada usrah, ada senior-senior yang datang berziarah dan bermacam-macam lagi. Rupa-rupanya, itulah dia budak-budak yang pernah berprasangka dan memperkecil Islamboli. Itulah budak-budak berseluar pendek yang datang dari sekolah yang sama dengan Islamboli. Itulah budak HT yang cuba mengkader Islamboli selepas berita pengeluarannya dari tanzim. Itulah budak JIM yang selama ini memperlekehkan demonstrasi kami.
Maka kini saya faham. Perbezaan fikrah mereka itu jelas semuanya tidak ikhlas menganuti fahaman ini. Semuanya hanya sekadar suka-suka untuk hidup dalam keadaan berpuak-puak dan sebagainya. Semuanya hanya suka memperlekehkan perjuangan jalanan dan hanya suka memburuk-burukkan tetapi perjuangan mereka hanya dicebisan keimanan. Konklusi usrah pada malam itu telah menjalur kami untuk berjalan meronda bersama-sama dengan beberapa orang sahabat Islamboli yang boleh dipercayai. Sepanjang perjalanan, saya sempat mencuit-cuit rakan-rakannya. “sekolah mana?” , “pernah ikut usrah?”, jelas, semuanya tidak pernah melalui perjuangan itu. Namun, hatinya adalah lebih suci daripada penghuni dan penganut tanzim serta pelbagai usrah lain. Saya tertarik.
Saya menghala ke Islamboli kenapa tidak meronda dengan tanzim lain sepertimana yang telah diamanahkan kepadanya untuk meronda bersama dengan tanzim lain demi memudahkan mencapai kata sepakat dalam beberapa hal yang lain nanti. Maka jawab Islamboli, mereka tidak tulus dalam berjuang. Malas rasanya hendak mengulas lanjut tentang itu. Kacau pemikiran saya, terlalu banyak masalah yang berlaku dalam kalangan umat di kolejnya ini. Tablighnya, JIMnya, ABIMnya, PASnya, HTnya. Semua sekadar lampu sonata yang mudah menyala tetapi juga mudah terbakar bila kepanasan melanda. Tidak ada guna dan fungsinya. Bagaimana pengkaderan, begitulah hasilnya. Pengkaderan yang dilengkapi dengan pergurauan. Pengkaderan yang dilengkapi dengan ketidaksempurnaan. Mengkader tanpa ilmu. Itulah kesimpulan.
Jam lebih kurang 10 malam. Kelihatan beberapa pasangan di pondok-pondok, taman, astaka dan pelbagai macam. Berpecah kepada dua. Saya menghampiri satu pasangan di astaka bersama dengan beberapa orang sahabat. Dengan lafaz isti’azah dan basmalah, serta penuh dengan budi bicara dan tatasusila, Sin Chan mencuba. Alhamdulillah mereka tidak melawan dan mendengar kata. Mungkin terkejut kerana tidak pernah melihat kami berdua yang amat jauh mimik muka berbanding yang masih muda lagi di kolej matrikulasi ini. Lebih 20-an menegur yang masih belasan tahun. Sudah tentu yang belasan akan mendengar dan berasa gentar. Seronok pula membanteras maksiat ni. Namun begitu, bermain difikiran saya, kemana perginya BADAR atau Biro Agama? Ataupun kumpulan-kumpulan jamaah atau usrah yang selama ini bukan main tajam taringnya. Tabligh? JIM? ABIM? HT? PAS? Kemana semua? Tidur di dorm masing-masing agaknya. Maklumlah hari sudah lewat.
Saya difahamkan oleh Islamboli, biro Agama atau di kolej ini, lebih mesra dipanggil sebagai Biro Kerohanian telah dipegang oleh exco dan timbalan yang datangnya dari sebuah kumpulan usrah. Begitu juga dengan biro Sukan dan Kebudayaan tetapi kemanalah perginya semua exco dan timbalan serta ahli-ahlinya? Kan semua ada kuasa? Boleh mengawal senario-senario lucah dan kurang sihat ini disekitar kolej. Maka jelaslah bahawa mereka tidak pernah meronda. Semuanya sama di kolej ini. Hanya mengajak ahli kepada yang makruf tetapi meninggalkan yang lebih penting iaitu mencegah mungkar. Maka berdosalah mereka yang telah tahu tetapi tidak mahu untuk ambil tahu. Sia-sialah bertudung labuh, sia-sialah berkopiah dan berserban sekiranya mengamalkan dasar yang ditanam oleh agen-agen Mossad di segenap lapisan masyarakat dunia sehingga tumbangnya kumpulan Jihad yang terbesar di India. Maka tumbanglah juga di kolej matrikulasi ini. Jam 12, kami masuk tidur. Beralaskan sejadah dan berbantalkan sejadah, kami melelapkan mata. Sejuk dan nyaman. Suasana didalam hutan. Maka, subuh pun terlaksana pada jam 6 di awal pagi yang masih gelita. 9 pagi selepas sarapan, kami meninggalkan kolej bersama-sama. Islamboli mengiringi sehingga dia berhenti di Nilai. Maka, berakhirlah lawatan kerja kami yang tunggal di kolej yang tidaklah seberapa besar, namun, masalah didalamnya amat signifikan. Diharapkan, umat akan datang ke kolej ini pada 11 mei 2009 ini akan lebih prihatin dan bertanggungjawab. Itulah harapan kami yang hanya boleh dipahat melalui laman web dan hati-hati kami yang amat berharap ini. Bertemu di demonstrasi anti ISA jun ini. wassalam…
5/29/09
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
islamboli adalah akh khalid bukan.. tahniah atas kunjungan.. maaf lambat..
Islamboli adalah jemaah. sama2. moga terus dapat berkunjung ziarah adik2 yang sedang kosong di sana.
Post a Comment