Setahun sudah berlalu masa kita di matrikulasi. Banyak sudah pengalaman dan ilmu yang berjaya digarap dan didakap. Macam-macam senario dan situasi yang sudah kita lihat. Daripada yang kecil hingga yang besar. Daripada yang berserban hingga yang berbogel. Memang lucu dan kadang kala lucah. Bukanlah setakat suka-suka saya memaparkan blog yang serba ringkas ini tetapi yang utamanya adalah kerana ingin menggarap memoir luka dan duka, suka dan gembira sepanjang hidup didalam “penjara” matrikulasi. “Penjara” yang didalamnya ada pelbagai. Tidak terseksa fizikal. Cuma tekanan, dugaan, onar, duri, dan soalan-soalan yang memecah kaca kepala.
Ini semua sudah menjadi rutin dan lali dalam kalangan pelajar matrikulasi sama ada dari KPM ataupun USIM, UM dan UIA. Semua matrikulasi adalah sama. Memang semacam satu persamaan walaupun berlainan subjek dan matapelajaran. Pengalaman ini bukanlah satu cerapan rambang ataupun satu garapan idea halusinasi. Bahkan pengalaman ini merupakan satu galakan idea yang mendatang bagi membina sekali lagi inspirasi aspirasi buat teman-teman yang bakal bergelar mahasiswa matrikulasi.
Aku bukanlah graduan yang telah bertahun lama tinggal di matrikulasi memandangkan matrikulasi hanya 1 atau 2 tahun. Maka, beruntunglah sesiapa yang berjaya menamatkan hanya setahun. Cepat dapat ijazah sarjana muda. Boleh segera tanggung ibu dan ayah serta keluarga bila dah dapat kerja.
Matrikulasi merupakan asas kepada universiti. Sedikit sebanyak siswa siswi matrikulasi diajar bagaimana pergerakan dan perjalanan semasa di universiti. Kadang kala ribuan ringgit diberi untuk menggerakkan program-program dan majlis-majlis walaupun ada diskriminasi untuk program-program agama di matrikulasi bukan Islami.
Seawal waktu berada buat kali pertama di matrikulasi, saya tidak pernah menjangkakan bahawa begitu banyak senario berbeza antara sekolah dan matrikulasi. Tiba-tiba, saya dilantik sebagai ahli jawatankuasa perwakilan pelajar sementara. Tugas pertama sebagai JPPs ialah menguruskan kemasukan pelajar baru pengambilan kedua. Memang satu pengalaman yang sukar tapi gembira. Biasanya di sekolah, guru memantau setiap masa dan bekerja bersama tetapi matrikulasi jelas tidak. Kadang kala bila difikirkan, ada seronoknya bekerja tanpa guru. Kadang kala pula bila difikirkan, susah dan payah sekiranya tiada bimbingan daripada seorang guru. Maka pergerakan dan gerak kerja kami untuk program pertama yang kami jalankan itu berlarutan hingga lewat malam. Bukan untuk sehari tetapi untuk berminggu-minggu sehingga tamat programnya.
Hati masing-masing mula resah. Pelbagai keluhan dapat disua. Kelas pun dah tidak tentu arah. Bangun lewat kerana malam tidur lambat. Di bilik gerak kerja sehingga malam yang sepertiga. Sahabat-sahabat yang di surau bermunajat pada Yang Maha Esa tetapi kami pula sibuk menyiapkan segala persiapan untuk kemasukan kedua. Hati gundah gelana. Namun, bila difikir sejenak, siapa lagi yang akan memikul amanah ini jika bukan aku yang dilantik menjadi pemimpin? Hati kembali tenang. Melupakan segala imbas-imbas lama yang menimbulkan pelbagai prasangka.
Itulah antara cerapan minda yang dapat saya simpulkan hasil daripada bancian perasaan dan monolog dalaman rakan-rakan sejawat semasa bersama-sama memimpin pelajar buat tempoh sementara. Itu perkara biasa. Adat istiadat buat semua pelajar yang baru sahaja nak bermula sebagai seorang mahasiswa matrikulasi. Datang niat hendak belajar semata-mata bagi menebus kesilapan lama semasa di sekolah hingga gagal mencapai kecemerlangan yang diidam-idamkan. Ingin menolak semua jawatan dan tugas selain daripada akademik setelah berdaftar sebagai siswa siswi matrikulasi. Kononnya, masa di matrikulasi amat padat dan singkat. Tiada masa untuk memimpin ummah. Tiada masa untuk luang masa berjamaah. Tiada masa untuk aktiviti-aktiviti dakwah. Jelas semua ini terpesong daripada akidah islami yang sebenar-benarnya. Namun, inilah hakikat dan realitinya di matrikulasi. Yang bertudung labuh di sekolah menengah dahulu belum tentu dapat mengekalkannya setelah di matrikulasi. Yang berkopiah senantiasa semasa sekolah dahulu belum tentu dapat mengekalkannya di matrikulasi. Pelbagai onar dan duri perlu ditempuh. Nafsu yang membuak untuk hidup bebas daripada kekangan ini semua melonjak-lonjak bak menunggu cetusan gunung berapi yang bakal membuakkan kepanasan yang mencecah ribuan darjah celciusnya.
Bukan kerana faktor senior atau usia. Bukan juga kerana faktor saya ingin menunjuk kepakaran dan pengalaman yang begitu menyerlah tetapi hanya kerana satu punca. Satu faktor. Satu sebab. Ini semua hanya kerana saya ingin melihat pelapis pemimpin negara dan jamaah pada masa yang akan datang. Jangan kita biarkan golongan sekular memimpin kita. Jangan kita biarkan golongan yang brutal memimpin kita. Jangan kita biarkan golongan yang liberal dari agama memimpin kita tetapi biarkanlah diri kita yang terdidik dengan asas-asas islami dan jamaei ini untuk memimpin generasi sebaya dan seusia. Biarkan diri kita yang terasuh dengan adunan ilmu agama dan akademik memimpin rakan-rakan yang masih buta.
Abaikan segala celaan dan hina. Itulah hakikat perjuangan. Fathi Yakan, Mustafa Masyhur dan ramai lagi sudah acap kali menyentuh hal ini. jika nak bawa Islam, kena bersedia dengan pelbagai cemuhan dan penghinaan oleh golongan-golongan jahil dan lagho. Golongan yang masih keras dasar nasionalisme dan sekularismenya. Maka itu adik-adikku, jangan terlalu awal kalian mengaku kalah kerana saya juga pernah merasainya. Betapa pedih dan pahit. Masalah hati yang bertimbun. Masalah persepsi masyarakat terhadap kita dan pelbagai lagi.
Maka, saya menyeru kepada adik-adik yang bakal menjadi siswa siswi matrikulasi. Jangan undur diri tetapi derapkan langkah adik-adik bersama. Bergerak dalam satu jemaah dan buktikan pimpinan itu datang dari Islam Yang Esa. Tiada yang terbaharu dan tiada yang terlama tetapi yang ada hanyalah yang sentiasa wujud.
5/29/09
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment